KUALA LUMPUR : Ada polis baik dan ada polis yang jahat, kami hanya karyawan yang mendedahkan hakikat yang wujud dalam masyarakat, demikian luahan kata pelakon Jehan Miskin menerusi sebuah klip video ringkas ketika membangkitkan isu rasuah polis.
"Contoh mudah, polis tidak mahu menunjukkan bahawa mereka adalah perasuah. Untuk melakonkan babak, adegan seperti itu pun, polis akan bertanya, kenapa anda mahu tonjolkan perkara buruk mengenai negara anda?
"Saya kata tidak (bukan niat memburukkan), kita bukannya ingin menunjukkan perkara buruk mengenai negara kita. Kita tunjukkan hal buruk itu kerana ia adalah perkara yang benar-benar berlaku," kata pelakon filem Qaisy dan Laila itu.
Di sana, tambah pelakon yang berdarah keturunan Afghanistan itu, ada polis yang baik dan ada polis yang jahat, dan bukanlah menjadi suatu kesalahan untuk membuat pendedahan seperti itu.
"Jadi, apa salahnya jika kita menunjukkan sikap polis yang jahat itu? Kamilah cermin masyarakat. Daripada karya kami, masyarakat dapat lihat di mana mereka bagus atau tidak, atau kelakar," tambah beliau lagi.
Beliau berkata demikian dalam laman portal YouTube di bawah klip video pendek di bawah program 'Your Grandfather's Road' dengan judul 'Malaysian Film Industry?'. Klip video itu boleh dicapai melalui laman sesawang http://www.yourgrandfathersroad.com.
Tayangan klip video pendek selama 2:58 minit itu turut mengutip beberapa pendapat pemikir, pelakon, pembikin filem termasuk ahli politik negara berhubung industri perfileman negara.
Untuk rekod, filem-filem negara sehingga kini ketandusan dalam menyiarkan jenayah-jenayah rasuah polis. Sebaliknya, filem dan drama Gerak Khas banyak menampilkan sikap-sikap polis yang baik sahaja, di samping pertuturan dialog yang kerap membosankan khalayak.
Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).
Kongsi berita ini
Saya antara peminat filem Tamil. Ini kerana filem Tamil dihasilkan oleh karyawan yang jujur dan dekat dengan rakyat. Kebanyakan filem Tamil lebih berani mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat seperti kes-kes rasuah yang melibatkan pemimpin-pemimpin tinggi di dalam negara, daerah mahu pun kampung.
Polis dan juga para penjawat awam yang terlibat dengan rasuah sehingga menyusahkan rakyat marhaen yang bertembung dengan kumpulan-kumpulan penjahat yang telah merasuah orang yang berkepentingan. Saya memahami maksud yang diperkatakan oleh Jehan Miskin, iaitu bukan semua polis baik dan juga bukan semua polis itu jahat.
Cerita polis di Malaysia seperti ‘Gerak Khas’ hanya sesuai untuk peringkat makcik-makcik dan datuk-datuk sahaja untuk ditonton pada setiap minggu kerana kita (golongan muda) terasa seperti diperbodohkan dengan cerita-cerita mengenai mat rempit, peragut, kes dadah, jual orang dan sebagainya.
Hanya kes-kes profil kecil sahaja. Sedangkan rasuah adalah musuh nombor 1 negara dan kenapa hal ini tak diperhebatkan kebenciannya melalui drama?
Kita patut mencontohi filem-filem Tamil. Dengan mendedahkan bahawa ada polis yang rasuah dan jahat, bukan bermaksud polis tidak baik, tetapi anggota polis akan mendapat pengajarannya, bahawa setiap kejahatan atau sikap tidak bertanggungjawab itu ada balasannya nanti sama ada di dunia atau di akhirat kelak.
Dan, pendedahan tersebut anggaplah sebagai pengajaran dan cermin diri bahawa kita akan melakukan yang terbaik untuk orang awam khususnya.
By wakmeli on 2010 03 16