KUALA LUMPUR : Suatu laporan polis akan dibuat ke atas penyiaran berita Utusan Malaysia di muka surat depan hari ini atas kenyataan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang bertajuk 'Tak Rela Diliwat Lagi', demikian kata Ketua Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johnson Chong di sini, hari ini.
"Kita akan membuat laporan polis berhubung laporan tersebut," kata beliau, sejurus ditemui di sini, selepas berakhirnya perbicaraan fitnah II melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini.
Anwar kelihatan mula beredar bangunan kompleks mahkamah sekitar jam 5:00 petang ini, lalu disambut dengan laungan 'Reformasi!" oleh kira-kira 50 orang pengikutnya.
Sebelum beredar meninggalkan mahkamah, Anwar yang ditemui di sini berkata, bahawa beberapa semakan melalui rekod mahkamah dan peguamnya telah menunjukkan apa yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia itu adalah tidak tepat sama sekali.
"Dalam kes ini, kalau dah ada pertuduhan, biar saya diberi keadilan. Tiada kenyataan yang disebut di muka depan Utusan, maknanya Utusan ini jadi alat Umno. Dia nak lawan depan tak boleh, dia fitnah kotor, biadap dan jijik begini," katanya kepada para pemberita.
Antara yang termuat di dalam laporan Utusan itu ialah pendedahan Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, yang mahu berhenti kerja kerana tidak mahu diliwat lagi oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut.
Tambah beliau, beliau bertugas sebagai sukarelawan sekitar 1 Mac 2008 dengan tugasnya - antaranya mengatur jadual ceramah pilihan raya sebelum dilantik sebagai pembantu peribadi Anwar pada akhir April.
Laporan itu menambah, Mohd Saiful dibayar gaji sekitar RM1,000 dengan elaun AS$1,000 (RM3,400) serta 10,000 dolar Hong Kong (RM4,300) bergantung kepada perjalanan ke luar negara.
Penasihat PKR itu difitnah dengan pertuduhan bahawa beliau telah melakukan hal tersebut bersama Mohd Saiful pada 26 Jun 2008 antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).
Kongsi berita ini